Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Teknologi Pendidikan Sa­rawak, Shirini Mastura Mohamed Zulkifli berkata, Jabatan Pendidikan Sarawak menyambut baik penganjuran pertandingan video pendek berkonsep muhibah membabitkan penyertaan pelajar sekolah menengah yang julung kali diadakan di negara ini.

Katanya, beliau yakin pertan­dingan itu pasti mendapat sambu­tan para pelajar dan mereka teruja menyertainya bagi me­nunjukkan kreativiti serta idea masing-masing.

“Pada zaman ini, menghasilkan video terutama dalam kalangan anak muda adalah perkara mudah dan sudah biasa dilakukan kerana boleh dibuat dengan menggunakan telefon bimbit.

“Kita berharap penyertaan dalam pertandingan ini tidak hanya dihadkan kepada pelajar sekolah menengah kerana ada guru dan murid sekolah rendah turut berminat menyer­tainya,” kata beliau ketika berucap mewakili Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon meras­mikan Pelancaran Program Jera­yawara #muhibah-Pertandingan Video Pendek Utusan Malaysia/Utusan Online Peringkat Negeri Sarawak di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan Pengarang Berita Unit Media Baharu Utusan Malaysia, Borhan Abu Samah.

Mengulas lanjut, Shirini Mas­tura berkata, memperluaskan penyertaan pertandingan sehingga ke peringkat sekolah rendah turut bertepatan dengan matlamat penganjuran program untuk menyemai budaya muhibah antara kaum, memartabat dan meningkatkan penggunaan bahasa Malaysia.

Menurut Shirini Mastura, pencapaian Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sipiling di Baram, Miri dalam pertandingan video di pe­ringkat antarabangsa pada tahun lalu, adalah bukti bahawa murid dan guru sekolah rendah juga berbakat dalam penghasilan vi­deo yang berkualiti.

Pada tahun lalu, SK Long Sipi­ling iaitu sebuah sekolah rendah di pedalaman negeri ini, mencipta rekod di peringkat antarabangsa apabila menang Anugerah Bercerita Terbaik di Kid Witness News (KWN) pada Sidang Kemun­cak Global 2017 di Tokyo, Jepun.

Kemenangan itu diperoleh menerusi penghasilan sebuah video bertajuk The Power of Hands hasil nukilan idea empat muridnya iaitu Anilov Fabien Tingang, 13; Juwita Ulean, 12; Fiona Fredick, 12, dan Michael Nyamun, 11, dengan dibantu oleh guru sekolah tersebut.

Video dalam Bahasa Kayan dan Iban berdurasi 4 minit 54 saat itu mengisahkan mengapa manusia perlu menghargai tangan pemberian tuhan yang tiada nilainya berjaya menewaskan pencalonan dari 18 negara lain.

Sementara itu, Wahid berkata, Utusan Malaysia selaku penganjur sedia mempertimbangkan cadangan itu dan mungkin membuka penyertaan untuk pertan­dingan video pendek ini ke pe­ringkat sekolah rendah pula pada tahun depan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/saran-pertandingan-i-muhibah-i-dibuka-kepada-sekolah-rendah-1.592998#ixzz54akPwPKL
© Utusan Melayu (M) Bhd

-By Palbaf-