Home / Blog / Cara Memupuk Amalan Membaca

Cara Memupuk Amalan Membaca

    Pada era globalisasi ini, terdapat masyarakat dunia yang mementingkan amalan membaca ini terutamanya masyarakat Jepun. Terdapat pelbagai jenis buku yang boleh dibaca untuk mendapatkan ilmu, pengalaman atau untuk menghiburkan. Walau bagaimanapun, amalan membaca ini kurang dipraktikkan oleh masyarakat Malaysia kerana mereka lebih suka menghabiskan masa lapang dengan perkara yang tidak berfaedah. Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana membaca sangat penting untuk melahirkan masyarakat yang berilmu dan berkualiti untuk memajukan negara. Terdapat pelbagai cara untuk memupuk amalan ini.

   Cara-cara memupuk amalan membaca yang pertama ialah ibu bapa dan guru sekolah memberi hadiah atau ganjaran kepada murid-murid. Hal ini dikatakan demikian kerana hadiah buku yang diberikan oleh ibu bapa atau guru adalah lebih berguna untuk dibaca, malahan lebih murah berbanding dengan hadiah lain yang memerlukan perbelanjaan yang besar. Sebagai contoh, ibu bapa oleh menghadiahkan hadiah buku kepada anak-anaknya sempena hari lahir mereka dan guru boleh menghadiahkan hadiah buku kepada murid-murid yang mendapat pencapaian terbaik di sekolah. Dengan ini, murid-murid akan dapat menanam minat membaca dan dapat menggunakan masa lapang dengan berfaedah. Jelaslah bahawa, ibu bapa dan guru memberi hadiah ganjaran merupakan cara-cara unutk memupuk amalan membaca.

   Cara-cara memupuk amalan membaca yang kedua ialah sekolah mengadakan program Nilam. Hal ini dikatakan demikian kerana murid-murid di sekolah kurang mengunjungi perpustakaan sekolah. Oleh itu, sekolah perlulah mengadakan program Nilam yang diuruskan oleh pihak Pusat Sumber dengan bantuan guru-guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Setiap waktu Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, buku-buku diambil dan dibawa ke kelas. Setiap pelajar membaca pelbagai jenis buku sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Program ini dilaksanakan untuk menggalakkan dan membudayakan pelajar agar berdamping dengan buku-buku di perpustakaan.

   Cara-cara memupuk amalan membaca yang ketiga ialah kemudahan perpustakaan bergerak oleh pihak kerajaan. Kebanyakkan masyarakat Malaysia tidak dapat datang ke perpustakaan kerana ada di kalangan mereka yang menghadapi masalah pengangkutan. Oleh itu, pihak kerajaan menyediakan kemudahan perpustakaan bergerak dan diletakkan di tempat-tempat awam. Perkara ini dapat memudahkan mereka yang sukar ke Perpustakaan Negara atau mereka yang menghadapi masalah pengangkutan selain menjimatkan masa dan memudahkan mereka. Jadi, mereka tidaklah ketinggalan dari segi ilmu membaca dan tidak menjadi katak di bawah tempurung. 

   Cara-cara memupuk amalan membaca yang terakhir ialah ibu bapa/guru menggalakkan pelajar mengunjungi Pameran Buku/Pesta Buku. Hal ini dikatakan demikian kerana di Pameran Buku, terdapat lebih 400,000 naskah buku yang dijual di sana. Ibu bapa dan guru boleh mengajak pelajar untuk mengunjungi Pameran Buku semasa hujung minggu atau cuti sekolah. Pelajar akan menambahkan minat membaca mereka kerana harga buku yang dijual murah, mendapat potongan harga dan pelbagai jenis ‘genre’ novel.

   Sebagai konklusinya, semua faedah itu benar-benar berlaku sekiranya diamalkan secara baik. Ibu bapa perlulah membantu memupuk minat ini dengan galakan atau membeli bahan bacaan yang berkualiti untuk anak mereka. Bak kata orang tua, membaca itu jambatan ilmu yang membuktikan amalan ini penting dilaksanakan oleh semua pelajar mahupun orang dewasa.

 

#pusattuisyenpositif #sungaipetani #beritapendidikan #infopendidikan #pusattuisyen #tuisyenterbaik #jombelajar #jomberjaya #jomkesekolah #infoterkini #pelajaran #motivasi #ilmubermanfaat #pelajarcemerlang

 

artikel penuh di : http://besimple43.blogspot.com/