Home / Blog / Guru Smk Amanjaya Dilatih Mahir Melakukan Asas-asas Pertolongan Cemas

Guru Smk Amanjaya Dilatih Mahir Melakukan Asas-asas Pertolongan Cemas

Assalamualaikum, hari ini Pusat Tuisyen Positif ingin berkongsi mengenai guru-guru yang dilatih supaya mahir dalam melakukan asas-asas pertolongan cemas. Info ini dipetik daripada Portal Pilihan Guru Pelajar Sekolah. Mari baca info dibawah untuk lebih lanjut.

-By Palbaf-

#pusattuisyenpositif #sungaipetani #beritapendidikan #infopendidikan #pusattuisyen #tuisyenterbaik #jombelajar #jomberjaya #jomkesekolah #infoterkini #pelajaran #motivasi #ilmubermanfaat #pelajarcemerlang

SUNGAI PETANI – Sebagai langkah persediaan menghadapi kejadian tidak diingini dalam persekitaran sekolah, seramai 89 guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Amanjaya diberikan kursus mempelajari asas-asas pertolongan cemas dan bantuan pernafasan resutasi kardiopulmonari (CPR), baru-baru ini.

Pengetua SMK Amanjaya, Ismail Othman berkata, latihan pertolongan kecemasan itu dikendalikan oleh empat kakitangan dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) diketuai Mohd Rafai Che Sa.

“Peserta kursus didedahkan kemahiran pertolongan awal yang sangat penting bagi mengelak keadaan lebih parah seperti meredakan luka atau patah, dan mungkin dapat menyelamatkan nyawa seseorang.

“Peserta juga didedahkan dengan teknik CPR untuk menyelamatkan nyawa ketika nadi dan nafas mangsa terhenti. Ia boleh digunakan untuk mangsa serangan jantung, lemas, renjatan elektrik dan kemalangan jalan raya,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, antara teknik dilatih ialah melibatkan tekanan dada dan hembusan mulut ke mulut, dan ini terbukti berkesan untuk menyelamatkan nyawa.

“Atas kesedaran inilah pihak sekolah bersama HSAH menganjurkan kursus pertolongan cemas dan CPR kepada guru.

“Saya merasakan kemahiran ini perlu terutamanya untuk guru supaya mereka dapat menghadapi sebarang kemungkinan di sekolah sebelum pelajar atau murid dihantar ke hospital,” katanya.

Beliau juga yakin kemahiran yang dipelajari oleh guru dapat didedahkan kepada pelajar-pelajarnya.

“Sebelum ini, pihak sekolah sering menghubungi HSAH untuk mendapatkan perkhidmatan terutamanya ketika berlaku kejadian kecemasan pada Hari Sukan Sekolah.

“Saya berharap dengan ilmu yang didedahkan oleh kakitangan HSAH dapat dimanfaatkan oleh guru untuk memberi rawatan awal jika sesuatu kejadian tidak diingini berlaku di sekolah sebelum pihak hospital tiba,” ujarnya.

Justeru katanya, beliau mendapati peserta program juga teruja dan menyifatkan kursus sangat bermanfaat dalam kehidupan mereka, di samping memberi peluang untuk membantu insan lain yang berada dalam kesakitan dan kecemasan.