Menurut Presiden Kanak-ka­nak Autisme Johor, Ruwinah Abdul Karim, setakat ini terdapat kira-kira 30,000 sahaja kanak-kanak autisme yang berdaftar, namun jumlah sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.

“Kita tidak mempunyai statistik mengenai jumlah sebenar kanak-kanak yang menghidap autisme di negara ini tetapi setakat ini, kita hanya mempunyai kira-kira 30,000 sahaja kanak-kanak autisme yang berdaftar,” katanya dalam Sidang Kemuncak Austisme Johor di sini hari ini.

Ruwinah berkata, perkara ter­sebut mungkin disebabkan terdapat ibu bapa yang tidak menyedari atau sering menafikan bahawa anak mereka menghidap penyakit berkenaan, selain kesilapan diagnosis daripada doktor.

“Ramai yang masih keliru sama ada anak mereka menghidap autisme ataupun sekadar kelewatan bertutur dan disebabkan itu, mereka tidak membawa anak mereka untuk mendapatkan rawatan awal.

“Ini amat mengecewakan ke­rana sekiranya autisme dapat dikesan lebih awal, ada cara untuk merawatnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ruwinah menasihatkan ibu bapa dan masyarakat supaya mengubah pandangan me­ngenai anak-anak autisme dan bersikap lebih terbuka serta menerima mereka seperti golongan normal.

Beliau turut mengalu-alukan ibu bapa dan orang ramai menghadiri Sidang Kemuncak Autisme Johor yang diadakan selama tiga hari di Hotel Berjaya Waterfront di sini bermula hari ini.

Pelbagai aktiviti dan maklumat mengenai anak-anak autisme boleh diperoleh dalam program tersebut.