Home / Blog / Larang Bawa Telefon ke Kelas, Kenapa Beri Telefon Bimbit YES, Soal NUTP

Larang Bawa Telefon ke Kelas, Kenapa Beri Telefon Bimbit YES, Soal NUTP

Assalamualaikum, hari ini Pusat Tuisyen Positif ingin berkongsi mengenai persoalan dari NUTP mengenai larangan kepada guru untuk membawa telefon bimbit di dalam bilik darjah. Namun, pihak Kementerian Pendidikan mengagihkan telefon bimbit YES kepada semua guru di negara ini, bertujuan mempertingkatkan kaedah pengajaran guru serta pembelajaran murid. Mari baca petikan dibawah untuk lebih lanjut.

-By Palbaf-

#pusattuisyenpositif #sungaipetani #beritapendidikan #infopendidikan #pusattuisyen #tuisyenterbaik #jombelajar #jomberjaya #jomkesekolah #infoterkini #pelajaran #motivasi #ilmubermanfaat #pelajarcemerlang

Kementerian Pendidikan melarang guru membawa dan menggunakan telefon bimbit di dalam bilik darjah namun boleh membawanya ke sekolah dan disimpan di pejabat atau bilik guru. – Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) hari ini mempersoalkan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan pada Selasa, yang melarang guru membawa telefon ke bilik darjah.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata, larangan tersebut dilihat tidak seiring dengan pengagihan telefon bimbit YES di kalangan guru.

“Profesion pendidikan kini ke arah Pendidikan Abad ke-21, yang mana kebanyakan alat bantu mengajar di pasaran menjurus ke arah kegunaan telefon bimbit.

“Malah, pihak Kementerian Pendidikan sendiri mengagihkan telefon bimbit YES kepada semua guru di negara ini, bertujuan mempertingkatkan kaedah pengajaran guru serta pembelajaran murid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Tan lagi, NUTP turut dimaklumkan bahawa 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara akan dilengkapkan dengan akses internet berkelajuan 4G dan platform pembelajaran maya yang menyediakan akses kepada penyelesaian pembelajaran bersepadu.

Katanya, semua guru dapat berkongsi bahan pembelajaran dan pengajaran berkualiti sekali gus boleh digunakan di mana sahaja untuk capaian peningkatan murid.

“Oleh itu, NUTP ingin memohon penjelasan berkaitan dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan..

“Bagaimana dengan pengagihan telefon bimbit YES tersebut? Adakah perlu dihentikan juga?” soalnya.

Semalam, Kamalanathan dilaporkan berkata, guru tidak dibenarkan membawa dan menggunakan telefon bimbit di dalam bilik darjah namun boleh membawanya ke sekolah dan disimpan di pejabat atau bilik guru.

Jelasnya, perkara itu merupakan prosedur yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan kepada semua guru.