Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sekolah-sekolah berkenaan yang telah wujud sebelum zaman kemerdekaan negara, kini dianggarkan terdapat lebih 20 buah.

“Kita hendak tengok bagaimana kita boleh bantu dalam aspek penyelenggaraan. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford di sini misalnya, usianya sudah 121 tahun tetapi ia dijaga dengan baik.

“Cuma kita kena bantu dari segi penyelenggaraan kerana sekolah ini merupakan sekolah premier,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program sepetang bersama Menteri Pendidikan yang dihadiri oleh pelajar, guru dan alumni di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Datuk Mohamad Kamil Shafie; ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman; Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Datuk Mat Lazim Idris; Pengetua SMK Clifford, Kamaruzaman Abd Murad dan Presiden Persatuan Penuntut Lepasan Clifford, Tan Sri Mustafa Mansur.

Antara nama besar yang pernah bersekolah di SMK Clifford termasuklah Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan tokoh politik Tun V.T. Sambanthan.

Terdahulu, pada majlis tersebut, Mahdzir turut meluluskan peruntukan bernilai RM50,000 untuk pengurusan sekolah selain kerja-kerja membaik pulih pendawaian bangunan serta pembelian sebuah bas sekolah.

Dalam perkembangan berlainan, ketika diminta mengulas mengenai penyebaran gambar dan video seorang pelajar perempuan yang didakwa meminum cecair disyaki air ketum di Kelantan, Mahdzir menyerahkan perkara tersebut kepada Jabatan Pendidikan Kelantan khususnya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok untuk tindakan seterusnya.

“Ini merupakan sesuatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pelajar sekolah, jadi tindakan seharusnya diambil kepada mereka yang terlibat.

“Oleh sebab ia merupakan sesuatu yang menyalahi undang-undang, biarlah ia diselesaikan di sana,” katanya. – UTUSAN ONLINE