Pengetua SMK Bandar Damai Perdana, Datin Norliza Kamaruddin berkata, menerusi pertan ­dingan itu, pelajar bebas meng­aplikasikan ilmu dan nilai-nilai murni yang dipelajari di kelas ke platform digital yang lebih luas dengan penghasilan video pendek dua minit.

“Usaha menganjurkan pertan­dingan ini sangat baik kerana secara tidak langsung dapat mewujudkan nilai kerjasama dan toleransi dalam kalangan pelajar pelbagai kaum,” katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini semalam.

Beliau bersama dengan tiga guru, R. Vasanta Kumari, Aniza Sahrim dan S. Kogilavani membimbing 10 pelajar melakonkan aksi dalam video pendek untuk menyertai pertandingan tersebut.

Pertandingan video pendek #muhibah Utusan Malaysia-Utusan Online tajaan syarikat Orando Holdings berlangsung selama setahun dari 1 Januari hingga 31 Disember 2018.

Setiap bulan, empat pemenang akan dipilih untuk menerima hadiah tunai RM1,000 seorang.

Penyertaan hanya untuk pelajar sekolah menengah dan mereka perlu menghantar video pendek dengan penerangan tidak lebih 150 patah perkataan dalam bahasa Melayu ke www.muhibah.my.

Norliza berkata, pertandingan itu bukan sahaja mahu melihat kreativiti pelajar dalam menghasilkan video tetapi melaluinya akan melahirkan generasi baru yang memenuhi aspirasi negara iaitu seimbang dari aspek kurikulum serta komited dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan.

“Pelajar pelbagai kaum dapat bergaul bersama-sama untuk terlibat menjayakan pertandingan dengan mengenepikan perbezaan yang ada sambil saling memberi sokongan.

“Hakikatnya, membuat sesuatu bersama-sama apatah lagi dengan rakan berbeza agama dan budaya lebih menyeronokkan di samping membantu menyesuaikan diri dan menjadi sahabat ak­rab,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/video-pendek-i-muhibah-i-terap-nilai-murni-1.610346#ixzz57Epw8cVS
© Utusan Melayu (M) Bhd